Allah s.w.t menciptakan tubuh manusia dengan fungsi masing-masing.
Justeru Islam melarang dari mendatangi isteri dari ‘duburnya’ dan juga
semasa haid atau nifas, kesemua pengharaman ini mempunyai dalil dan nas
yang khusus. Namun isu ‘oral seks’ tidak mempunyai dalil khusus yang
melarang, ini menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat di kalangan
ulama Islam.
Ulama sepakat bahawa jika sekadar menyentuh atau
menggosok kemaluan suami dan isteri tanpa ‘oral seks’, adalah dibenarkan
menurut para ulama Islam kerana ia tergolong dalam bentuk aktiviti
menaikkan syahwat antara suami isteri yang diharuskan.
Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-
Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk http://www.islamonline.net)
berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat
tidak menghisap atau menelan apa jua ceceair yang keluar darinya.
Menelan atau menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia
salah satu bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada
tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan seksual.
Apa yang
pasti diharamkan menurut beliau adalah ‘anal sex’ atau seks melalui
lubang dubur, kerana terdapat nas yang jelas mengharamkannya, adapun
‘oral seks’ tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran dan hadis yang
melarangnya.
Pandangan ‘harus’ atau boleh dilakukan ini dikongsi
oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri ‘Abdul
Ra’ouf (Prof Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka menegaskan, tindakan
ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi
menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri, terutamanya jika
ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan yang boleh
membawa mereka ke lembah zina kelak.
Perbincangan ringkas
Namun
begitu, saya kira kesemua mereka yang mengharuskan termasuk Syeikh
Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan satu isu yang mungkin boleh
dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani.
Justeru,
saya mengira fatwa beliau mungkin boleh digunakan jika dalam keadaan
tiada sebarang ceceair dikeluarkan semasa aktivti oral sex ini
dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang
yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair
pelincir iaitu mazi.
Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci.
Namun
semua ulama bersetuju air mazi adalah najis. Hasilnya, majoriti
pandangan ulama yang menyatakan menelan dan hisap termasuk cecair mazi
ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama kontemporari
menegaskan perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi.
Mazi
ibarat najis lain yang dianggap kotor dalam Islam, justeru haram
memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga air mazi ini. Bukan
sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga memfatwakan
haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk
menggunakannya sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan
menelannya. Sudah tentulah ia lebih lagi diharamkan.
Selain itu,
menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah satu perara yang tidak
normal, khusus buat orang yang agak luar biasa nafsunya.
“Oral
seks” juga tergolong dalam kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah
salah menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan
boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.
Justeru,
mana-mana pasangan kekasih yang melakukan perkara ini, boleh dilaporkan
dan diambil tindakan oleh undang-undang Malaysia. Dari sudut
undang-uhdang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah dijadikan
sebat dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta’zir di dalam Islam
bagi mereka yang sabit bersalah.
Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-
Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al’Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,
“Adapun
hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah
haram, tidak dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat
memancarkan mani, mazi dan lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar
darinya air mazi yang ia najis menurut kesepakatan (ulama’). Apabila
(air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi
akan menyebabkan penyakit baginya.
Melalui pandangan ini, kita
dapat melihat satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini
boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut
pembacaan saya, ulama yang membolehkan perilaku ini juga bersetuju untuk
mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan dari sudut
saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang
serius.
Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi pernah
menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak
berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex’
dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut
pasangan yang mempunyai banyak bakteria dan kuman.
Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :-
“Ini
adalah perbuatan sebahagian binatang, seperti anjing. Dan kita
mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits, Ar-Rasul melarang
untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan beliau
turun (sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan
serigala dan mematuk seperti patukan burung gagak. Dan telah dimaklumi
pula bahawa Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam telah melarang untuk
tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir, maka diambil juga daripada
makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan
haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah
diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim – dan
keadaannya seperti ini – merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan”
Namun,
pendapat peribadi saya mendapati pandangan dan dalil yang digunapakai
oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu kukuh, namun saya tidak
berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini.
Tindakan
men’generalize’ semua jenis persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara
total juga boleh didebatkan kesohihannya. Demikian juga menyamakannya
dengan perilaku binatang, benarkah binatang melakukan ‘oral seks’?, jika
sekadar menjilat mungkin ye, namun menghisap kemaluan si jantan? Adakah
binatang yang melakukannya?. Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang
ada juga yang mencium dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan
memeluk juga diharamkan kerana menyerupai binatang.? Sudah tentu tidak.
Kesimpulan
Melalui
perbincangan dan pendedahan ringkas di atas, jelas kepada kita
perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil penelitian terhadap
pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :-
1) Elok dijauhi
aktiviti ini dan menghadkan kepada perilaku seks yang lebih sihat
bersama pasangan. Ini bagi menjauhi perkara khilaf.
2) Harus
bagi suami isteri untuk mencumbu kemaluan pasangan mereka dengan syarat
tidak menghisap, jilat dan menelan apa jua cecair. Ia juga dituntut
untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka sebelum melakukan aktiviti
ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia
makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini
sengaja untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan bukan
Islam dan juga binatang.
3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani
pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor
sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang
akan diproses melalui dengan bahagian kimia)
4) Hukumnya
menjadi harus berdasarkan keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau
disebut ‘rukhshah’ kepada pasangan yang amat perlukannya bagi
mengelakkan ketidakpuasan dan membawa masalah besar rumah tangga atau
lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar rumah.
5) Hukum
melakukannya bersama pasangan kekasih atau mana-mana pasangan sebelum
nikah yang sah adalah haram, dosa besar dan boleh didakwa dengan hukuman
20 tahun penajara di Malaysia. Namun ia tidak dianggap berzina dalam
erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh Islam.
Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam
kaedah fiqh Islam, “Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah
haram jua”
Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan soal
hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan
keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir
samada tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu yang berharga
buat keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya kepada nafsu
diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau semakin buas sebenarnya. Kita
bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan nafsu yang semakin
membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri dan masyaarakat di
sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa yang sentiasa
dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar tidak ditawan
olehnya kelak Fikirkan. Di buka
sumber : http://bloggers-islam.blogspot.com/2013/02/hukum-menjilat-kemaluan-isteri.html
Title : HUKUM MENJILAT KEMALUAN ISTRI
Description : Allah s.w.t menciptakan tubuh manusia dengan fungsi masing-masing. Justeru Islam melarang dari mendatangi isteri dari ‘...