"Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah,
pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat,
atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati
keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di
sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita
menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita
sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.
Syurga masih terasa
kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah
wanita. Kalau begitu, boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap
akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia.
Perhiasan
adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata.
Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah
hati apabila melihat perhiasan. Tapi, kenapa tidak semua wanita
menyejukkan hati sedangkan ia diciptakan sebagai pelengkap kepada
perhiasan dunia dan akhirat? Malah, ada wanita yang menjadi punca
kemelut dan kacau bilau. Garis pemisahnya ialah sekeping hati yang ia
miliki.
Apabila hati diserahkan kepada
Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan
hati.Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang
menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup
wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan
kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam
keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung. Inilah wanita
sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh
Rasullullah:
" Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah."
Di dunia lagi bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya.
Sebaliknya,
jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan
jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila
wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan
menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang
menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti
untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu.
Ibarat
bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi,
harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak
kekal. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman
palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang
bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana
saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir
belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan
semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.
Wanita
solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan
dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan
ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana
masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap
suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta.
Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki `perhiasan' sejati ini
kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang
disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.
Seorang wanita
yang hatinya jauh dari Tuhan masih mampu menjadi perhiasan dunia yang
digilai oleh segenap lelaki. Kecantikan dan lentoknya menjadikan hati
lelaki tunduk semahu-mahunya sehingga sangggup berkorban
segala-galanya-sutau perhambaan yang tersirat. Terpenjaralah hati kaum
Adam yang memilih perhiasan`palsu' ini.
Hati menjadi sempit dan di akhirat terseksa tanpa batas!
Wanita
boleh memilih untuk menjadi `bunga sejati'. Wanita solehah yang membawa
ketenangan. Wanita juga boleh memilih untuk menjadi `bunga plastik'.
Wanita yang mengundang kemelut, kacau bilau dan kehancuran. Kita
sentiasa ada pilihan… maka pilihlah. Kita hanya akan layak menjadi
`bunga sejati' jika hati tunduk kepada Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan tidak
pernah memaksa. Dia tetap agung walaupun kita sebagai hamba terus
derhaka…Maha suci Allah yang telah memuliakan kita sebagai wanita.
Daripadanya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.
Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:
"Hendaklah
kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin, kerana sesungguhnya
wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang
paling bengkok pada tulang itu ialah yang di sebelah atasnya; apabila
kamu mahu meluruskannya patahlah ia, dan sekiranya kamu membiarkannya
kekallah ia dalam keadaan bengkok. Oleh itu tolonglah kamu nasihati para
wanita dengan sebaik-baiknya"
(Riwayat Bukhari, Muslim dan abu Hurairah)
sumber : http://redeagle21.blogspot.com/2007/07/bidadari-cemburu.html
Title : KISAH ISLAMI : BIDADARI CEMBURU
Description : "Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk ...